Tuesday, 3 July 2012

PENDEKATAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

Proses pengajaran dan pembelajaran dalam pendidikan khas memerlukan guru menggunakan pelbagai pendekatan yang sesuai dengan perkembangan diri, kebolehan, keupayaan, bakat, minat serta latar belakang murid. Memandangkan murid mempunyai keupayaan yang berbeza, guru harus menyediakan aktiviti yang sesuai. Usaha ini dapat memastkan murid terlibat aktif, juga membantu proses pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih berkesan, bermakna dan menggembirakan.
                                            
                     Proses pengajaran dan pembelajaran perlu dirancang serta dikendalikan dengan teliti dan sistematik bagi menjamin setiap murid mendapat peluang yang sama, sama ada dilaksanakan secara kelas. Kumpulan mahupun secara individu. Berpandukan matlamat dan objektif dalam kurikulum ini, antara pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang boleh digunakan adalah:

                               I.            PENDEKATAN ANALISIS TUGASAN


      Pendekatan Analisis Tugasan melibatkan proses pembahagian kemahiran kepada beberapa komponen atau langkah mudah yang dapat dikuasai dan dipelajari oleh seseorang murid. Kaedah analisis tugasan membantu guru menyusun atur kemahiran yang hendak diajar, memberi latihan yang konsisten dan nilai tahap pencapaian murid. Penyediaan analisis tugasan dapat dilaksanakan dengan langkah-langkah berikut:

Ó  Memastikan kemahiran yang sesuai diajar pada murid mengikut tahap keupayaan
Ó  Huraikan secara ringkas kemahiran yang terpilih
Ó  Kemahiran yang dipilih dipecahkan kepada langkah-langkah kecil
Ó  Buat penyesuaian langkah-langkah pembelajaran mengikut kelemahan dan kebolehan murid
Ó  Guru menjalankan analisis tugasan
Ó  Guru membuat pemerhatian dan penilaian apabila murid telah menguasai kemahiaran yang diajar
Ó  Membuat penambahan dan perubahan di mana perlu sehingga murid dapat menguasai kemahiran yang hendak diajar

                            II.            PENDEKATAN BELAJAR MELALUI BERMAIN

   Pendekatan Belajar Melalui Bermain ditekankan dalam proses pengajaran dan pembelajaran pendidikan khas kerana bermain merupakan keperluan murid. Melalui aktiviti ini mereka melakukan penerokaan, penemuan dan pembinaan berdasarkan pengalaman dengan rasa gembira dan seronok. Selain menyeronokkan, pendekatan ini boleh meningkatkan keupayaan kognitif dan memenuhi rasa ingin tahu, penguasaan psikomotor, kemahiran berfikir serta mengendalikan emosi.
Ciri-ciri pendekatan bermain sambil belajar yang ditekankan ialah:

Ó  Aktiviti yang menyeronokkan
Ó  Penerokaan dan interaksi dengan persekitaran
Ó  Permainan bebas dan terancang
Ó  Keanjalan masa
Ó  Percubaan idea sendiri
Ó  Peluang untuk memberikan tumpuan dan perhatian

                         III.            PENDEKATAN PENGAJARAN BERTEMA


      Pendekatan Pengajaran Bertema digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran murid pendidikan khas. Pemilihan topik atau tema mestilah yang bersesuaian dengan persekitaran murid.

                  Pendekatan Pengajaran Bertema melibatkan perkara-perkara berikut:

Ó  Penggunaan satu tajuk umum merentasi bidang pembelajaran
Ó  Pemilihan tajuk berasaskan kesesuaian tahap murid, situasi tertentu atau peristiwa semasa
Ó  Saling berkaitan dengan pengalaman sedia ada dan pengalaman baru diperoleh secara tersusun dan sistematik
Ó  Peluasan dan pengukuhan pengetahuan dan kemahiran
Ó  Pemeringkatan daripada yang mudah kepada sukar dan umum kepada yang lebih khusus

                     Pemilihan tema pula perlu mengambil kira perkara-perkara di bawah:

Ó  Kesesuaian dengan kehidupan murid
Ó  Peluang untuk mengaplikasi kemahiran kepada murid-murid seperti kemahiran asas mendengar, membaca, menulus, mengira, penggunaan komputer dan lain-lain.
Ó  Kemahiran yang diperoleh daripada tema yang diajar dapat membantu murid mendapat kemahiran penyelesaian masalah
Ó  Sumber yang mudah didapati
Ó  Mengikut musim atau peristiwa untuk memberi kesedaran dan pengukuhan serta meningkatkan pengetahuan murid

Perkara-perkara berikut perlu dilaksanakan dalam Pendekatan Pengajaran Bertema:

Ó  Sumbangsara berdasarkan topik oleh murid
Ó  Kenal pasti subtopik dan pilih aktiviti yang sesuai untuk membantu murid mempelajari isi kandungan dan mengaplikasikan kemahiran yang dipelajari dalam konteks yang bermakna
Ó  Mencipta peta minda untuk tema
Ó  Merancang dan menggalakkan kemahiran berfikir
Ó  Iklim dan persekitaran bilik darjah mempunyai suasana yang kondusif dan berkaitan dengan tema.

                         IV.     PENDEKATAN PEMBELAJARAN PENGALAMIAN


      Pendekatan Pembelajaran Pengalamian adalah berdasarkan kesediaan dan keupayaan individu. Pendekatan ini meningkatkan arah kendiri individu di mana murid diberi peluang menilai keupayaan diri sendiri.

Guru yang melaksanakan kaedah ini seharusnya menjalankan peranan berikut:

Ó  Menentukan suasana yang positif untuk proses pembelajaran
Ó  Menjelaskan peranan murid dalam tugasan
Ó  Memastikan sumber untuk proses pembelajaran ada dan mudah diperoleh
Ó  Menyusun sumber untuk proses pembelajaran
Ó  Seimbangkan komponen intelek dan emosi dalam pembelajaran
Ó  Berkongsi perasaan dan pemikiran dengan murid tanpa menguasai dan mengongkong mereka



                  Prinsip-prinsip Pendekatan Pembelajaran Pengalamian ialah:

Ó  Guru menentukan matlamat dan objektif untuk individu serta kumpulan
Ó  Aktiviti pembelajaran yang dibentuk adalah untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang sesuai dengan kesediaan murid
Ó  Guru perlu menjelaskan tentang tugas atau aktiviti yang akan dijalankan dengan murid dan berbincang mengenai apa yang diharapkan daripada murid
Ó  Murid perlu ditempatkan dalam situasi atau suasana yang memerlukan kemahiran baru atau sokongan dan peneguhan dengan pengalaman lalu
Ó  Pembelajaran berlaku melalui pengalaman pembelajaran dan berikan maklumat tentang apa yang dibuat atau dipelajari
Ó  Berikan bantuan, latihan dan peneguhan dengan mengaitkan pembelajaran yang baru dalam kehidupan sebenar murid seperti sekolah, keluarga dan komuniti

                            V.     PENDEKATAN PEMBELAJARAN MASTERI


      Pendekatan Pembelajaran Masteri merupakan suatu pendekatan pengajaran dan pembelajaran untuk memastikan semua murid meguasai hasil pembelajaran yang dihasratkan dalam suatu unit pembelajaran sebelum berpindah ke unit pembelajaran seterusnya. Pendekatan ini memerlukan masa yang panjang untuk menghasilkan pendidikan berkualiti.

Keperluan-keperluan pelaksanaan Pendekatan pembelajaran Masteri ialah:

      Guru perlu menyedari bahawa:

*  murid mempunyai kebolehan dan keperluan yang berbeza antara satu sama lain
*  murid memerlukan pendekatan pendidikan yang sesuai dan berkesan
*  murid perlu menguasai pengetahuan, kemahiran dan sikap yang diajarkan

Prinsip Asas Masteri

*  pembelajaran dipecahakan kepada unit yng lebih kecil supaya mudah untuk dikuasai
*  masa pengajaran perlu mencukupi untuk menguasai kemahiran
*  arahan guru perlu jelas

Ciri-ciri Pembelajaran Masteri

*   hasil pembelajaran perlu ditentukan
*   hasil pembelajaran disusun mengikut hierarki atau unit pembelajaran
*   aktiviti pengajaran dan pembelajaran hendaklah bermakan, berkesan, menarik dan menggembirakan
*   bahan pengajaran dan pembelajaran mesti sesuai dengan tahap penguasaan murid dan berkaitan dengan kemahiran yang dipelajari
*   murid mesti menguasai 80% aras masteri sebelum berpindah ke unit pembelajaran yang baru
*   aktiviti pemuluhan perlu dilaksanakan bagi murid yang belum menguasai aras masteri
*   aktiviti pengayaan perlu dilaksanakan untuk murid yang telah mencapai aras masteri

                         VI.     PENDEKATAN KOLABORASI


a)      LATIHAN KEMAHIRAN KERJA

            Latihan Kemahiran Kerja perlu didedahkan kepada murid pendidikan khas bermasalah pembelajaran. Matlamat utama latihan ini adalah untuk memberi kemahiran kendiri, komunikasi, sosialisasi dan kemahiran asas berkaitan pekerjaan dalam kehidupan. Latihan Kemahiran Kerja boleh dibahagikan kepada tiga bentuk iaitu:

Ø  Latihan dalaman – berbentuk kerja projek.

Melaksanakan aktiviti berbentuk projek yang telah dirancang dengan baik.
Contoh:

*         perkebunan dan penjualan hasil tanaman
*         aktiviti-aktiviti perdagangan seperti membuat aiskrim, biskut, kek dan lain-lain.
*         memelihara ikan, burung dan lain-lain

Ø  Latihan kerja yang melibatkan luar atau kerja luar

            Mendapat barangan dari luar (kilang) untuk pembungkusan (assemble) dalam waktu persekolahan. Membuat barangan yang tertentu, contohnya hasil kraftangan murid seperti batik, bunga telur dan lain-lain untuk dijual.

Ø  Latihan kerja sebenar

            Mewujudkan situasi sebenar untuk sesuatu latihan kerja seperti mencuci kereta, mendobi, dan lain-lain yang dibuat di sekolah. Murid-murid dihantar bekerja di tempat sebenar dan pemantauan dibuat oleh pegawai kerja.




b)      BENGKEL TERLINDUNG

            Fungsi bengkel terlindung adalah untuk memberi pengalaman, latihan, penilaian dan pekerjaan kepada individu yang berkeperluan khas. Terdapat bengkel terlindung yang beroperasi sendiri (di bawah pengurusan sekolah) atau yang mempunyai perjanjian dengan agensi yang memberi perkhidmatan berkaitan dengan kerjaya. Bengkel terlindung tidak mementingkan hasil pengeluaran tetapi lebih mengutamakan pengalaman bekerja individu, menanam minat, memenuhi keperluan sosial dan memberi kemahiran inter-personal.

            Di bengkel terlindung perlu ada:

*   penilaian kemahiran vokasional
*   latihan bekerja secara umum atau khusus
*   memberi peluang latihan kepada individu yang berkeperluan khas
*   peluang untuk berekreasi
*   perkhidmatan untuk mendapat pekerjaan pada masa hadapan
*   bekerja dalam jangkamasa panjang sebelum mendapat pekerjaan lain

c)      PELBAGAI KAEDAH TERAPI

Ó  Terapi Pertuturan

Terapi pertuturan bertujuan untuk:

*   membantu murid yang mengalami kesukaran dalam menyebut perkataan dan berkomunikasi
*   membantu murid menghasilkan bunyi-bunyi bahasa
*   melatih murid-murid yang menghadapi masalah artikulasi melalui latihan asas tertentu

            Antara aktiviti yang dijalankan adalah seperti latihan lisan, meniup belon, meniup kertas di atas air, mengetap bibir dan sebagainya. Terapi pertuturan dijalankan oleh pakar pertuturan atau individu yang terlatih.
Ó  Terapi Fizikal  ( Fisioterapi)
  
           Terapi fizikal memberi pengaruh yang besar terhadap kehidupan murid pendidikan khas. Ia bertujuan untuk membantu murid-murid yang mempunyai masalah kawalan motor. Terapi fizikal yang dilaksanakan akan dapat meningkatkan lagi perkembangan kemahiran motor kasar, motor halus dan perkembangan kercerdasan fizikal mengikut keutamaan.

Ó  Terapi Carakerja

           Terapi carakerja merupakan aktiviti yang menjurus ke arah membantu individu bermasalah fizikaldan intelek bagi mengatasi ketidakupayaan semaksima yang mungkin. Aktiviti berfokus kepada kepelbagaian pergerakan dan kebolehan otot-otot untuk membantu murid mencapai kejayaan dalam bidang vokasional atau kerjaya.

Ó  Terapi  Muzik

           Terapi muzik bertujuan mententerakan murid supaya bersedia untuk belajar. Guru menggunakan muzik untuk merangsang minda dan menarik perhatian murid. Terapi muzik digunakan untuk mengawal emosi dan dijalankan oleh seorang terapis. Aktiviti yang dijalankan seperti pergerakan bebas mengikut irama muzik, memainkan alatan muzik mengikut rentak yang diperdengarkan serta menghayati irama. Murid melakukan gerakan menggunakan alatan untk menghasilkan bunyi. Bunyi-bunyi ini apabila digabungkan akan melahirkan satu irama muzik yang tersusun.

                    VII.                                     AKTIVITI LUAR BILIK DARJAH

Aktiviti ini dijalankan di luar waktu pembelajaran, bertujuan untuk:

*   memberi peluang untuk murid memperoleh pengalaman sebenar
*   rekreasi
*   bersosialisasi dan berkomunikasi
*   aktiviti yang menggembirakan
*   penerokaan dan interaksi dengan persekitaran
*   aktiviti bebas dan terancang

      Antara aktiviti yang dijalankan di luar bilik darjah adalah aktiviti rekreasi yang melibatkan

*   lawatan
*   motivasi
*   perkhemahan
*   perkelahan
*   berkuda
*   berenang
*   aktiviti jual beli
*   lawatan sosial

No comments:

Post a Comment